PM view on Lina Joy case – Malay papers

June 1st, 2007 by poobalan | View blog reactions Leave a reply »
 Subscribe in a reader | Subscribe by Email



PM affirms that Constitution is the highest authority.
 
Kes Lina Joy: PM minta usah ikut emosi
 
 
Oleh Anwar Hussin, Saufi Hamzah dan Rohaniza Idris

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, semua pihak perlu menerima keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes Azlina Jailani atau Lina Joy, dengan terbuka dan tidak membenarkan diri mereka dipengaruhi emosi.
 
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak pernah mempengaruhi mahkamah untuk membuat sebarang keputusan, termasuk berhubung kes Lina Joy yang merayu di Mahkamah Persekutuan untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya

“Kalau kita membenarkan emosi mempengaruhi kita, kita akan fikir macam-macam… syak itu dan ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, petang semalam.

Abdullah yang juga Presiden Umno diminta mengulas mengenai reaksi pelbagai pihak berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin yang menolak rayuan Lina Joy yang mengaku murtad sejak 17 tahun lalu untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

Mahkamah menegaskan Azlina, 42, atau nama Kristiannya, Lina Joy perlu mendapatkan perakuan bahawa dia sudah murtad daripada Mahkamah Syariah sebelum Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

Ditanya sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan itu melebarkan jurang perbezaan agama di negara ini, Abdullah berkata: “Saya tidak fikir ada jurang perbezaan yang luas walaupun perbincangan berhubung agama semakin meluas”.

Sementara itu, Abdullah menyifatkan media Barat yang memburukkan Malaysia dengan mendakwa tidak mempraktikkan kebebasan agama selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu sebagai jahil mengenai negara ini.

“Mereka mempunyai persepsi salah mengenai apa yang kita boleh lakukan. Ini adalah keputusan mahkamah, saya tidak mempersoalkannya. Ada banyak keputusan yang dilakukan mahkamah dan (kadangkala) kita tidak berpuas hati tetapi apa yang boleh kita buat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga tidak pernah menolak kebebasan beragama dan perkara itu jelas terbukti kerana jika tidak, sudah tentu tiada penganut Kristian atau gereja untuk mereka di negara ini.

Beliau turut menyangkal dakwaan media asing kononnya undang-undang Islam kini mengatasi Perlembagaan Persekutuan.
 

Terima keputusan Lina Joy – PM

source

Oleh: HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 31 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat supaya menerima keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Azlina Jailani atau Lina Joy dengan terbuka dan tidak membenarkan diri mereka dipengaruhi emosi.

Perdana Menteri berkata, sekiranya masyarakat menerima keputusan itu dengan emosi dikhuatiri ia boleh menimbulkan pelbagai syak wasangka.

“Kalau kita membenarkan emosi mempengaruhi kita, kita fikir macam-macam, syak itu, syak ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Lina Joy yang mengaku murtad sejak 17 tahun lalu untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya dengan penghakiman secara majoriti 2-1.

Mahkamah menegaskan Azlina, 42, yang menukar namanya kepada Lina Joy perlu mendapatkan perakuan daripada Mahkamah Syariah bahawa dia telah murtad sebelum Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.

Menurut Abdullah, kerajaan tidak pernah mempengaruhi mahkamah dalam membuat sesuatu keputusan.

“Tiada campur tangan politik. Ini keputusan mahkamah dan saya percaya hakim yang membuat keputusan ini telah mengambil kira semua aspek,” tegas beliau.

Dengan keputusan itu juga, kata Perdana Menteri, ia tidak bermakna Malaysia menolak agama Kristian seperti yang dilaporkan BBC yang bertajuk Malaysia Reject Christianity.

“Jika Malaysia menolak agama Kristian, tidak adalah agama itu di negara ini. Tidak adalah gereja-gereja,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan melebarkan jurang perbezaan agama di negara ini, Abdullah berkata: “Saya tidak fikir ada jurang perbezaan yang luas walaupun perbincangan berhubung agama semakin meluas.”

Mengenai persepsi buruk masyarakat antarabangsa terhadap negara berikutan penyiaran meluas keputusan kes berkenaan, Perdana Menteri berkata, tidak banyak yang boleh dilakukan kerana ia adalah keputusan mahkamah

“Ada banyak keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah dan banyak juga yang tidak menggembirakan sesetengah pihak, apa yang kita boleh buat,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Abdullah turut menyangkal dakwaan seorang wartawan media asing bahawa undang-undang Islam kini mengatasi Perlembagaan Persekutuan negara ini.

“Tak ada perkara macam itu (undang-undang Islam mengatasi Perlembagaan Persekutuan). Perlembagaan Persekutuan ialah Perlembagaan Persekutuan. Ada satu set undang-undang yang perlu kita patuhi. Ia merupakan sesuatu yang perlu kita patuhi, itu sahaja,” katanya.

Dalam penghakiman semalam, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd Sherif menolak rayuan tersebut, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Richard Malanjum membenarkan permohonan itu.

Hakim Ahmad Fairuz berkata, JPN berhak mengenakan syarat kepada Lina Joy supaya mengemukakan sijil atau deklarasi atau perintah Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dia murtad sebelum boleh menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada kad pengenalannya itu.

Hakim Malanjum pula berpendapat arahan JPN supaya Lina Joy mengemukakan sijil murtad dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tidak munasabah kerana walaupun jabatan tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan undang-undang, namun adalah mustahil bagi syarat itu dipatuhi.

Advertisement

Comments are closed.